Buat persediaan penyusuan sejak hamil

Sumber gambar dari google


Beberapa panduan penyusuan untuk bakal-bakal ibu dari awal kehamilan.

Terdapat 3 faktor utama untuk membuat persediaan penyusuan secara eksklusif buat bayi anda. Iaitu, Persediaan ilmu, Persediaan fizikal dan Persediaan emosi.

PERTAMA
Persediaan ilmu

1. Menghadiri kelas penyusuan.
Ramai yang beranggapan penyusuan susu ibu adalah semula jadi tetapi hakikatnya, ianya sesuatu yang perlu dipelajari. Tanpa ilmu yang mencukupi, dikhuatiri anda sebagai ibu akan terkandas di pertengahan jalan.

Sebaiknya, hadiri kelas penyusuan semasa hamil. Anda boleh memilih hospital atau klinik kerajaan yang sering mengadakan kelas penyusuan secara percuma. Anda juga boleh memilih kelas yang berbayar yang dikendalikan oleh kaunselor laktasi yang bertauliah.

Juga ada baiknya hadir ke kelas penyusuan bersama suami agar suami juga turut memahami dan memberikan sokongan padu buat isteri.

2. Kumpul Maklumat Sebanyaknya.
Usaha untuk mencari dan mendalami sebanyak mungkin ilmu berkenaan penyusuan susu ibu. Hal ini sangat penting agar anda faham dan memahami konsep asas penyusuan iaitu semakin payu dara dikosongkan semakin banyak susu dihasilkan.

Selain menghadiri kelas, anda boleh menambah ilmu menerusi pelbagai sumber. Antaranya, dari bahan bercetak. laman web, blog, forum dan sebagainya.

3. Simpan Nombor Telefon Kaunselor Laktasi.
Kaunselor laktasi sangat diperlukan semasa anda mengalami masalah berkaitan susu ibu terutamanya pada hari-hari pertama selepas kelahiran bayi.

Jadi, simpan nombor telefon kaunselor laktasi yang berada dikawasan yang berdekatan dengan anda supaya mudah untuk anda membuat sebarang rujukan jika berlaku masalah kelak.

4. Sertai Komuniti Susu Ibu.
Di Malaysia, terdapat banyak komuniti susu ibu yang bermatlamat menyokong dan membantu para ibu agar lebih yakin untuk menyusukan si manja.

Sertailah komuniti atau forum susu ibu supaya anda mendapat sokongan daripada rakan-rakan yang sama-sama menyertainya.

KEDUA
Persediaan Fizikal

5. Memilih Pemakanan Sihat 
Apabila anda mengamalkan cara pemakanan yang sihat semasa hamil, ia dapat membantau pembentukan kelenjar-kelenjar susu di dalam tisu-tisu tubuh lalu, memudahkan penghasilan dan pengaliran susu ibu sebaik bayi dilahirkan. Dalam mmasa yang sama, pastikan keperluan kalsium dan protein dalam tubuh mencukupi.

6. Pilihan hospital.
Pilihlah hospital yang menyokong penyusuan susu ibu dan mesra ibu dan bayi. Sebelum melahirkan, bincanglah dengan doktor yang memeriksa kehamilan tentang keinginan anda menyusukan bayi sebaik kelahiran.

7. Persediaan Peralatan Penyusuan.
Persediaan peralatan penyusuan susu ibu adalah sangat penting dalam memastikan anda dapat menyusukan bayi dengan lancar. Hal ini penting terutamanya bagi ibu yang berkerjaya.

Antara peralatan yang perlu disediakan ialah pam payu dara, coli penyusuan, pelapik payu dara, bekas penyimpanan susu ibu, beg pendingin, pek ais, kain pelindung penyususn, peti sejuk dan lain-lain.

Anda digalakkan membeli pam payu dara sebelum bersalin yang bersesuaian dengan suasana tempat kerja. Sebaiknya pilih pam yaang bergred hospital. Anda juga disyorkan mencuba dahulu pam tersebut sebelum membelinya.

Selain itu, coli penyusuan dan pelapik payu dara penting pada awal kelahiran kerana anda mungkin kerap mengalami kebocoran. Peti sejuk juga merupakan perlatan penting yang anda perlu ada untuk menjayakan misi penyusuan susu ibu. Hal ini kerana ia dapat membantu memanjangkan jangka hayat simpanan susu ibu yang sudah diperah.

8. Kebersihan puting.
Bersihkan puting payu dara setiap kali mandi. Gunakan tuala bersih bersama air suam untuk mencucinya. Namun, elakkan menyapu sabun di bahagian puting. Langkah ini sangat penting terutamanya pada trimester terakhir kerana kolostrum sudah mula terhasil. Jika puting tidak dibersihkan sebaik-baiknya, dikhuatiri ia
akan tersumbat.

Selain itu, anda juga boleh mengurut puting perlahan-lahan dan menyikat kedua-dua belah payu dara menggunakan sikat secara perlahan-lahan.

9. Kenali Payu dara.
Anda seharusnya mengenali payu dara sendiri!

Perkara ini nampak agak remeh tetapi memberi impak yang sangat besar. Ia membolehkan anda mengetahui samada anda mempunyai puting tenggelam atau normal. Cara pemeriksaannya sangat mudah dan boleh dilakukan ketika mandi.

Caranya, tekan puting payu dara dengan tapak tangan selama dua minit dan lepaskan. Jika puting kembali seperti biasa, bermakna payu dara anda normal. Jika hampir seminit menunggu tiada apa-apa perubahan, itu bermakna anda mempunyai masalah puting tenggelam.

Apabila sudah ketahui masalah payu dara, ia dapat memudahkan anda mencari jalan penyelesaian awal agar anda lebih bersedia dengan segala kemungkinan yang ada.

KETIGA
Persediaan Emosi.

10. Pasang Niat.
Pasang niat dan azam untuk menyusukan anak yang bakal dilahirkan sejak anda mula disahkan hamil. Setelah anda sudah berazam, jangan lupa untuk suburkan dengan motivasi menerusi pembacaan, perkongsian pengalaman, menghadiri forum dan sebagainya.

Dengan niat dan azam yang kuat, anda pasti tidak akan mudah berputus asa. Segala rintangan dan dugaan pasti anda sanggup harungi jika niat dan azam diutamakan melebihi segala-galanya.

11. Banyakkan Berdoa.
Sentiasa berdoa semoga dimudahkan proses perjalnan penyusuan anak anda. Allah suka mendengar doa hamba-Nya. Jadi, sentiasa dekatkan diri kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Pemberi Rezeki.

12. Sokongan Padu.
Kongsikan niat anda untuk menyusukan anak anda yang bakal lahir bersama suami, ahli keluarga dan rakan-rakan. Nyatakan hasrat anda untuk mendapatkan sokongan daripada mereka terutamanya daripada suami.

Sokongan yang dimaksudkan bukan hanya sekadar bersetuju dengan keinginan anda menyusukan anak bahkan lebih dari itu.

Oleh itu, banyakkan berbincang tentang perancangan yang bakal dilakukan dan pada masa yang sama, bersama-sama lengkapkan ilmu agar semua sedar dengan peranan masing-masing dalam membantu anda menjayakan penyusuan susu ibu.

13. Yakin dan Positif.
Sentiasa berfikiran positif dan yakin bahawa anda dapat menyusukan anak kelak. Ingat, pengeluaran susu ibu adalah berasaskan konsep permintaan dan penawaran. Jadi, susukan bayi sekerap mungkin sebaik kelahirannya. Fahami juga bahawa pada awal kelahiran, bayi hanya mandapat kolostrum. Selepas itu, susu ibu akan meningkat sedikit demi sedikit. Teruskan kekerapan menyusu dan sentiasa berfikiran positif bahawa susu anda cukup untuk keperluan anak anda.



Comments